Monday, January 2, 2012

Derma Darah



Penderma darah adalah istimewa. Ini adalah kerana tidak semua orang layak untuk menjadi seorang penderma darah. Saya kongsi kriteria yang melayakkan seseorang itu untuk menderma darah. Di antara kriteria yang ditetapkan adalah seperti berikut:

1. Sihat tubuh badan pada hari pendermaan.
2. Berumur di antara 18-60 tahun.
· Bagi yang berumur 17 tahun, perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibubapa atau penjaga
· Bagi yang berumur 61-65 tahun, perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada doktor mengenai tahap kesihatan badan.
3. Berat badan melebihi 45 kg.
4. Tidur melebihi 5 jam pada malam sebelum hari pendermaan.
5. Tiada masalah kesihatan.
6. Tidak mengambil sebarang ubat-ubatan
· Tidak mengambil antibiotik dalam tempoh 7 hari sebelum hari pendermaan
· Sila rujkuk pegawai perubatan bertugas untuk ubat-ubatan lain.
7. Telah mengambil makanan sebelum menderma darah (tidak berpuasa)
8. Tidak terlibat di dalam sebarang kegiatan berisiko tinggi seperti berikut:
· Hubungan jenis sesama jantina (homoseksual)
· Hubungan jenis dengan kedua-dua jantina (biseksual)
· Hubungan jenis dengan pekerja seks komersial / pelacur
· Bertukar-tukar pasangan hubungan jenis
· Mengambil dadah secara suntikan
· Menjadi pasangan hubungan jenis kepada mana-mana golongan di atas.
9. Pendermaan terakhir sekurang-kurangnya 3 bulan untuk penderma darah penuh (whole blood), dan 2 minggu untuk penderma aferesis.
10.Untuk penderma wanita:
· Tidak mengandung.
· Tidak datang haid.
· Tidak menyusukan anak.

Jenis-Jenis Pendermaan
Pendermaan tidak hanya tertumpu kepada darah merah sahaja, malah terdapat komponen-komponen lain di dalam darah yang boleh di dermakan antaranya

1. Penderma ‘Whole blood’

Darah mengandungi komponen-komponen seperti berikut:
Sel darah merah
Sel darah putih
Platelet
Plasma

Darah diperlukan untuk kes-kes pembedahan, mangsa kemalangan, merawat pesakit leukemia, barah, thalassemia, penyakit jantung, komplikasi pendarahan semasa bersalin, haemophilia dan lain-lain. Isipadu darah yang biasanya didermakan adalah sebanyak 450ml iaitu kurang daripada 1 pain darah (568ml). Jumlah darah yang diambil adalah berdasarkan berat badan.

Masa yang diambil untuk menderma darah adalah di antara 7 hingga 10 minit tetapi anda dinasihatkan supaya berada di tempat menderma selama lebih kurang 1 jam. Sebelum menderma darah anda dinasihatkan supaya mengambil sedikit makanan sebagai mengalas perut. Darah merah yang telah didermakan memerlukan masa selama 4 – 8 minggu untuk digantikan semula manakala plasma pula selama 24 jam.

2. Pendermaan Aferesis
Pendermaan komponen darah iaitu plasma atau platelet ataupun kedua-duanya sekali, dimana komponen darah yang tidak diperlukan dikembalikan ke dalam badan penderma semula.

Proses Menderma Darah
Setiap individu yang menderma darah dengan Pusat Darah Negara (PDN) akan melalui proses pendermaan seperti berikut:

· Mengisi borang PDN3/2000/Pin. 1 atau 2. Sebarang keterangan atau bantuan mengisi borang ini boleh diperolehi daripada kakitangan PDN yang bertugas
· Menjalani pemeriksaan darah untuk tahap kepekatan sel darah merah (paras hemoglobin) dan mengenal pasti kumpulan darah ABO.
· Melalui sesi soal selidik atau kaunseling pra-pendermaan untuk mengenal pasti sebarang masalah perubatan dan tahap risiko penderma.
· Penderma yang layak menderma akan menjalani proses pengambilan darah (phlebotomy).
· Setelah selesai proses pengambilan darah, penderma akan diberikan sedikit makan dan minuman ringan.

Penyimpanan dan Kegunaan Darah
Darah yang didermakan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis produk atau komponen:
1. Sel darah merah – whole blood, packed red cell, buffy-coat poor red cell, filtered red cell.
2. Plasma – fresh frozen plasma, cryosupernatant, cryoprecipitate
31. Platelet – random platelet concentrate, apheresis platelet

Setiap produk atau komponen darah ini mempunyai cara penyimpanan dan kegunaan yang berbeza. Antaranya:

1. Darah yang telah melalui ujian saringan dan telah diproses kepada sel darah merah, platelet dan plasma akan disimpan mengikut jenis darah, kumpulan darah ABO dan tarikh luput masing-masing.
2. Sel darah merah perlu disimpan pada suhu 2oC – 6oC dan boleh bertahan selama 35 hari.
3. Plasma perlu disimpan pada suhu -30oC dan boleh bertahan selama 2 tahun.
4. Platelet perlu disimpan pada suhu 20oc – 24oC dan perlu sentiasa digerakkan (agitated).Jangka hayat platelet hanyalah 5 hari daripada tarikh pendermaan.

Setiap produk atau komponen darah ini ada kegunaan masing-masing:
1. Whole blood – unit darah yang didermakan yang tidak menjalani proses pengasingan. Digunakan untuk kes-kes seperti pesakit yang kehilangan darah akibat kemalangan dan untuk pertukaran darah (Exchange Transfusion, ET) bayi akibat jaundis neonatal yang teruk.
2. Sel darah merah – untuk masalah kekurangan hemoglobin (anemia) seperti penyakit buah pinggang dan panyakit kanser.
3. Plasma – kes-kes pendarahan semasa bersalin, lecur akibat kebakaran, pendarahan akibat kerosakan hati.
4. Platelet – untuk penyakit-penyakit kekurangan platelet seperti demam denggi dan leukemia.

No comments:

Post a Comment